Wednesday, July 15, 2009

Demokrasi: Antara Perebutan Kuasa Politik dan Kesejahteraan Rakyat

Gejolak politik yang berlarutan di Perak ekoran peristiwa pengambilalihan kuasa oleh BN dari PR, membayangkan adanya kekurangan yang mendasar dalam kefahaman dan amalan demokrasi di negara ini. Kita menyaksikan aksi perebutan kuasa yang mengenepikan rule of law dan lunas-lunas akhlak serta prinsip keadilan. Lalu yang terjadi ‘sengketa’ antara pelbagai kelompok dalam masyarakat menjadi semakin sengit dan jurang hubungan antara mereka menjadi semakin meluas. Cita-cita dan impian tentang wujudnya persefahaman dan kerjasama serta hubungan harmonis dalam masyarakat – yang menjadi asas kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat – kini seakan tidak kesampaian.

Demokrasi sepatutnya menjadi mekanisma yang mampu menghalang tindak tanduk politik yang keterlaluan. Demokrasi menjadi penuntun masyarakat ke arah budaya perpolitikan yang lebih tertib dan memandu mereka ke arah penyelesaian masalah secara muafakat. Permuafakatan yang tercipta dari persefahaman dan kesediaan untuk bertolak ansur. Demokrasi seperti ini mampu menghindar pergeseran dari menjadi lebih sengit sebaliknya memudahkan tercipta kerukunan dalam hidup bermasyarakat.

Membangun kesejahteraan hidup rakyat yang berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan harus menjadi keutamaan perjuangan politik, sebagaimana juga gerkan-gerakan sosial. Kuasa politik dan pemerintahan bukanlah matlamat (not an end in itself). Ia hanyalah wahana bagi mendaulatkan hak rakyat dan menegakkkan keadilan serta membawa kesejahteraan kepada kehidupan manusia. Ahli-ahli politik tidak seharusnya hilang pertimbangan hingga dalam keghairahan mereka bersaing meraih kuasa politik, nasib rakyat tidak dihiraukan. Harus disedari bahawa kuasa politik bukan segala-galanya, hingga perlu direbut at all cost dan walaupun dengan mengorbankan prinsip dan nilai akhlak. Rakyat menginginkan peace of mind, kebebasan dan keselesaan hidup. Inilah yang seharusnya diberi oleh demokrasi sebagai pemerintahan rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat (government of the people, by the people, for the people). Sayangnya sebahagian wakil-wakil rakyat yang menjadi ahli-ahli politik tidak meletakkan usaha memperjuangkan nasib dan hak rakyat sebagai agenda utama mereka. Sebaliknya mereka berlumba-lumba mendapatkan kuasa politik sebagai wasilah untukmendapat peluang dan habuan bagi memenuhi nafsu serakah dan memperkaya diri sendiri, walaupun dengan berbuat demikian hak-hak rakyat harus dikorbankan. Akibatnya berlaku seperti yang disebut oleh José Nun dalam bukunya, Democracy, iaitu kehilangan visi asal demokrasi yang mendaulatkan ‘kerajaan rakyat’ (the government of the people) sebaliknya yang muncul ialah ‘kerajaan ahli-ahli politik’ (the government of the politicians).

Kita menyeru ahli-ahli politik kita supaya kembali ke pangkal jalan, akur kepada prinsip-prinsip demokrasi, merujuk kepada panduan agama dan nilai akhlak, sedia bersaing secara sihat dan menghormati rule of law, berjiwa besar dengan melihat pesaing politik sebagai rakan dalam menyuburkan demokrasi. Kita percaya, sikap seperti akan membantu mengembalikan keselesaan dan kerukunan masyarakat.

Kita tertanya-tanya kenapa ramai dari ahli-ahli politik yang memulakan karier politiknya dengan hasrat murni (ideals) dan semangat perjuangan membela rakyat, namun bila mereka memperolehi kuasa, cita dan hasrat mulia ini pantas sekali dilupakan. Ini mengingatkan kita kepada watak Bill McKay dalam filem The Candidate, (1972). Dalam proses mendaki kuasa politik, dia hilang arah lalu meminggirkan idealisme yang diperjuangkannya sebelumnya. Apakah wajar kita menjadi sebagaimana yang diungkap sebagai tagline filem tersebut: “Nothing matters more than winning. Not even what you believe in” ? Kalau demikian sikap kita, jangkakan masalah lebih besar akan datang timpa menimpa!

No comments: